KUALA LUMPUR – Seorang pelajar jurusan penerbangan sebuah akademi swasta maut selepas terjatuh tingkat 39 kondominium di Sungai Besi, di sini malam tadi.
Remaja berusia 19 tahun yang menetap di Semenyih itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala, badan serta kaki.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 10.53 malam.
Katanya siasatan awal mendapati mangsa yang terjatuh dari tingkat 39 terhempas ke atas bumbung kenderaan yang diletakkan di hadapan sebuah restoran.
“Semakan ke atas rakaman televisyen litar tertutup (CCYV) di ruang legar tingkat 38 tempat mangsa menyewa bilik mendapati remaja itu keluar dari rumah meluru berlari ke ruang tangga tingkat 39.
“Berkemungkinan mangsa terjatuh dari situ. Ada kesan pecahan cermin tingkap dan telefon peribadi mangsa ada di kawasan tersebut,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rakaman percakapan abang si mati memaklumkan adiknya merupakan pelajar jurusan penerbangan di sebuah akademi di ibu negara.
Aidil berkata, si mati tidak mempunyai masalah peribadi dan tiada penyakit.
“Mangsa seorang yang pendiam dan tidak suka berkongsi masalah dengan sesiapa. Si mati juga tidak mempunyai teman wanita dan tiada masalah kemurungan.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk dibedah siasat. Beberapa sampel DNA diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis,”katanya. – https://amiminerals.org/