KUCHING – Pemandu kereta pelajar sekolah berusia 16 tahun yang dipercayai menjadi punca lima orang maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Teo Kui Seng-Stutong Baru, semalam didapati tidak mempunyai lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, remaja terbabit yang mengalami kecederaan di leher akan ditahan sebaik sahaja keluar dari Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,”katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Mohd. Farhan berkata, kejadian pada pukul 12.50 tengahari itu berpunca daripada kereta yang dipandu pelajar terbabit.
Katanya, siasatan awal mendapati kereta terbabit yang datang dari arah Jalan Lapangan Terbang menuju ke Jalan Setia Raja telah hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke arah jalan bersebelahan dan merempuh dua buah kereta serta dua buah motosikal yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan itu, empat mangsa (tiga lelaki dan seorang perempuan) berusia antara 16 hingga 45 tahun meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut semasa menerima rawatan di zon merah HUS.
“Tiga mangsa lagi yang mengalami kecederaan masih menerima rawatan di unit kecemasan,”katanya. – https://amiminerals.org/