MELAKA – Seorang pelajar perempuan maut, manakala dua lagi cedera selepas motosikal yang mereka tunggang terbabas di Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) Peringgit Jaya, lewat petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Nurul Emelda Faiz Wendyson, 17, yang menunggang motosikal Honda C1004-MA meninggal dunia di lokasi, manakala pembonceng dikenali sebagai Naila, 20, mengalami luka di beberapa anggota badan.
Seorang lagi penunggang juga merupakan pelajar sekolah, Mohammad Fazlyzan Shah Mohd. Farid yang menunggang motosikal Honda Vario ACB mengalami kecederaan di tangan kanan dan kiri, siku serta lutut kanan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Nurul Emelda yang dari arah Merlimau menghala ke Balai Panjang telah hilang kawalan dan melanggar kon penghadang jalan di sebelah kiri.
“Penunggang dan pembonceng telah terjatuh menyebabkan motosikal ditunggang Mohammad Fazlyzan yang berada di belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa.
“Akibat kemalangan itu, penunggang Nurul Emelda, yang merupakan pelajar sekolah disahkan meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah di kepala, manakala pemboncengnya serta Mohammad Fazlyzan mengalami luka-luka dan dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut beliau memberitahu, siasatan lanjut mendapati kesemua mangsa yang terlibat tidak mempunyai lesen membawa kenderaan.
“Motosikal ditunggang Nurul Emelda disyaki telah hilang kawalan semasa menuruni jejambat menyebabkannya melanggar kon pembahagi berkenaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – https://amiminerals.org/