Pelajar jatuh kondo: Lima keterangan individu dirakam

gambar hiasan mayat

Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis merakam lima keterangan individu berhubung kematian seorang pelajar jurusan penerbangan yang terjatuh dari tingkat 39 sebuah kondominium di Sungai Besi, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, mereka terdiri daripada ejen rumah, abang dan rakan serumah si mati.

“Selain itu, kita turut mengambil keterangan anggota polis yang bertugas di Pusat Kawalan Cheras dan pemilik kereta di mana lokasi mangsa terjatuh,”katanya ketika dihubungi.

Menurut Aidil, hasil bedah siasat yang dijalankan semalam mendapati punca kematian remaja 19 tahun akibat ‘multiple injuries due to fall from height’ (pelbagai kecederaan disebabkan terjatuh dari tempat tinggi).

Katanya, pihak keluarga telah menuntut mayat mangsa di Unit Forensik, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), di sini petang semalam.

“Setakat ini kematian remaja itu tiada unsur jenayah,”katanya.

Sebelum ini Kosmo! Online melaporkan seorang pelajar jurusan penerbangan yang menetap di Semenyih maut selepas terjatuh dari tingkat 39 sebuah kondominium di ibu negara.

Siasatan awal mendapati mangsa terhempas ke atas bumbung kenderaan yang diletakkan di hadapan sebuah restoran.

Semakan ke atas rakaman televisyen litar tertutup (CCYV) di ruang legar tingkat 38 tempat mangsa menyewa mendapati remaja itu keluar dari rumah meluru ke ruang tangga tingkat 39. – https://amiminerals.org/