Pelajar dipercayai khayal vape digantung sekolah

Lokasi seorang pelajar terjatuh

Lokasi seorang pelajar terjatuh selepas dipercayai khayal selepas menghisap vape di sebuah sekolah di Perlis, hari ini.

KANGAR – Seorang pelajar tingkatan dua yang dipercayai khayal selepas menghisap vape sebelum terjatuh bumbung pejalan kaki di sebuah sekolah di sini dikenakan tindakan penggantungan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pihak sekolah telah mengambil tindakan penggantungan terhadap pelajar terbabit bersama dua rakannya atas kesalahan menghisap vape di kawasan sekolah.

Menurut beliau, pihaknya menerima laporan mengenai seorang pelajar tingkatan dua terjatuh dari tingkat satu bangunan sekolah pada pukul 10.50 pagi tadi.

“Kejadian itu dipercayai berlaku selepas pelajar terbabit menghisap vape sehingga badannya menjadi panas dan khayal. Pelajar itu kemudian turun dari tingkat satu dan berjalan atas bumbung pejalan kaki sebelum terjatuh,” katanya di sini, hari ini.

Yusharifuddin berkata, keluarga pelajar tersebut turut dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar. Ujian saringan air kencing mendapati remaja itu bebas pengaruh dadah.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan mengenai kejadian seorang pelajar tingkatan dua yang terjatuh dari bumbung pejalan kaki di sebuah sekolah sekitar negeri ini. – https://amiminerals.org/