BATU PAHAT – Seorang pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng meninggal dunia kelmarin selepas tiga hari koma setelah diserang strok.
Sim Hui Yi, 17, meninggal dunia pada pukul 10 pagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini.
Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, remaja itu mengadu sakit kepala yang teruk sehari sebelum menduduki ujian lisan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Isnin lalu.
Katanya, keluarga pelajar itu kemudian segera membawanya ke Klinik Kesihatan Yong Peng selepas rebah bagi mendapatkan rawatan.
“Pelajar itu kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail sebelum koma dan disahkan meninggal dunia pada pukul 10 pagi kelmarin,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, siasatan awal mendapati remaja tersebut mengalami cerebrovascular accident (CVA) yang menyebabkan strok.
“Menurut keluarganya, Hui Yi merupakan pelajar yang aktif dan tidak memiliki sebarang komplikasi dalam perubatan,” katanya. – https://amiminerals.org/.