Pekerja stor mengaku salah rakam video wanita buang air besar

GambarHIASAN24 majistret2

Gambar hiasan.

AMPANG – Seorang pekerja stor sebuah kedai serbaneka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengaibkan kehormatan rakan sekerjanya dengan merakam video wanita itu sedang membuang air besar.

Tertuduh yang berusia 19 tahun membuat pengakuan bersalah tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

Oleh kerana tertuduh merupakan pesalah muda, mahkamah menetapkan 5 Februari tahun depan bagi laporan sosialnya sebelum fakta kes dibaca dan hukuman dijatuhkan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 19 tahun yang juga rakan sekerjanya dengan cara merakam video wanita itu yang sedang membuang air besar dengan maksud menganggu kesantunan sebagai wanita.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai serbaneka, Jalan Ampang Hilir di sini pukul 8.23 malam pada 20 Disember lalu yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh membuat rakaman itu selama 37 minit.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani mencadang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah atas alasan tanggungan keluarga.

Majistret Amalina Basirah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,800 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang menganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan selain menetapkan 5 Februari tahun depan bagi sebutan semula kes dan jatuh hukum. – https://amiminerals.org/