HULU SELANGOR – Seorang pekerja syarikat pengedar buku didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu selepas mengaku bersalah atas tuduhan memiliki buku panduan solat yang tidak mengikut garis panduan penulisan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan al-Quran (LPPPQ).
Mengikut pertuduhan, Abdul Amir Abdullah, 32, didakwa telah memiliki 1240 unit buku `A Guide to Salat’ yang tidak mengikut kaedah penulisan oleh LPPPQ pada pukul 2 petang, 15 Oktober 2024 di sebuah premis di Bandar Utama Batang Kali dekat sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(1) Akta Pencetakan Al-Quran 1986 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua sekali.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Ahmad Warith Jamal manakala Abdul Amir yang didakwa sebagai Orang Kena Saman (OKS) tidak diwakili peguam bela.
Ahmad Warith memohon mahkamah memberikan hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada OKS agar dia tidak mengulangi kesalahan tersebut.
Majistret Nurul Izzah Hasan Basri selepas mempertimbangkan hujah dan rayuan menjatuhkan denda RM4,000. Gagal bayar denda tersebut, mahkamah memerintahkan OKS dipenjara sebulan.
OKS membayar denda tersebut. – https://amiminerals.org/