Pekerja berkuku panjang, kedai penuh najis tikus diarah tutup

WhatsApp Image 2025 05 21 at 14.03.59 1

Keadaan sebuah premis yang kotor dalam pemeriksaan yang dijalankan MPHS semalam.

PETALING JAYA – Sebuah premis makanan diarahkan tutup serta-merta dalam pemeriksaan yang dijalankan oleh Bahagian Inspektorat Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) semalam.

MPHS dalam satu hantaran berkata, pemeriksaan yang dijalankan bersama Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Pelesenan itu dibuat susulan daripada aduan orang awam.

Antara kesalahan yang dikesan dalam pemeriksaan itu ialah terdapat hurungan najis tikus dan hurungan lipas di rak penyimpanan premis, pengendali makanan berkuku panjang, tidak memakai apron dan penutup kepala.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan pada pagi semalam membawa kepada penutupan premis makanan tersebut selama 14 hari selepas didapati melanggar pelbagai peraturan kebersihan dan keselamatan makanan.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati bahawa perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik, peralatan memasak dan kain pengelap juga berada dalam keadaan yang tidak bersih, pengurusan sisa pepejal yang tidak teratur dan juga beberapa kesalahan lain,” katanya di sini hari ini.

Katanya, sebanyak tiga kompaun kesalahan telah dikeluarkan oleh JPSPPA di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Establisymen Makanan 2007 dan UUK Pengendali Makanan 2007 iaitu UUK 34 (tidak mengambil langkah pencegahan serangga di dalam premis makanan), UUK 19(1)(d) (membuang atau menumpahkan buangan cecair ke dalam longkang awam) dan UUK 8(1) iaitu tidak menyelenggara badan dalam keadaan bersih (kuku panjang).

“Bagi menjamin keselamatan pengguna, pihak MPHS akan terus mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis makanan yang gagal mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan,” katanya. – https://amiminerals.org/