SIK – Seorang pekebun maut selepas dipercayai dilanggar kenderaan pacuan empat roda yang mengundur sendiri di Kampung Pasir Putih, Jeneri, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, Lim Gok Hong, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sik, Deputi Superintendan Abdull Razak Osman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai mangsa yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa mahu pulang ke rumahnya di Yan dari kebun betik miliknya.
“Dia dikatakan memberhentikan kenderaan dan turun untuk menutup pintu pagar kebun.
“Mangsa dipercayai meletakkan gear dalam keadaan neutral (N) dan menarik sedikit brek tangan. Sewaktu mangsa menutup pintu pagar, kenderaan itu secara tiba-tiba mengundur lalu melanggarnya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa terhimpit di bawah kenderaan berdekatan tayar belakang sebelah kanan.
“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan disahkan telah meninggal dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sik untuk bedah siasat,” tambahnya. – Iteenews