Pegawai pemasaran \’songlap\’ dana koperasi hampir RM900,000

Hishamudin tengah duduk

Hishamudin (tengah, duduk) bersama wakil koperasi dan syarikat pemasaran yang dilantik pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MHO, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seorang kakitangan syarikat pemasaran yang dilantik untuk menguruskan perniagaan produk ayam dan daging sejuk beku didakwa menyeleweng dana sebuah koperasi berjumlah RM865,559.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamudin Hashim berkata, individu berusia 40-an itu disyaki berkomplot dengan beberapa syarikat lain bagi mengaut keuntungan untuk tujuan peribadi.

Menurutnya, kegiatan itu yang dilakukan dari 2020 hingga 2021 dipercayai telah dirancang lebih awal tanpa pengetahuan majikan syarikat pemasaran berkenaan.

“Syarikat pemasaran ini telah diamanahkan oleh koperasi untuk melakukan proses pengurusan, penjualan dan logistik produk yang diniagakan. Namun, masalah mula timbul apabila tiga syarikat yang membeli produk itu gagal melunaskan pembayaran pembelian.

“Koperasi diberitahu, bahawa kesemua syarikat terlibat telah menandatangani ‘perjanjian novasi’ dengan seorang individu yang merupakan kakitangan syarikat pemasaran berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat MHO, di sini hari ini.

Hishamudin berkata, pihaknya mempunyai beberapa bukti bahawa individu itu melakukan kesalahan jenayah antaranya dengan memberi jaminan kepada pelanggan untuk tidak membayar hutang.

Selain itu, katanya, penama-penama dalam syarikat terlibat turut mengesahkan bahawa pegawai pemasaran itu mengarahkan mereka untuk tidak membuat bayaran kepada koperasi, sebaliknya kepada syarikat ketiga.

“Kita ada berjumpa dengan individu ini, dia kata, apa-apa samanlah. Tapi kita nak duit kerana dana ini melibatkan 450,000 ahli koperasi.

“Pegawai ini sepatutnya menjalankan amanah, tetapi sanggup menyamar sebagai wakil koperasi dan wujudkan syarat secara sesuka hati. Kalau ikut terma asal, bayaran sepatutnya kepada koperasi. Sekarang dia kata tak payah bayar, pakai dokumen ini sahaja,” ujarnya.

Sehubungan itu, Hishamudin berkata, dua laporan polis telah dibuat oleh pihak koperasi dan sebuah syarikat yang membeli produk terbabit.

“Satu lagi laporan polis akan dibuat oleh syarikat pemasaran dalam masa terdekat. MHO ingin menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya membuka kertas siasatan dengan kadar segera kerana ini melibatkan kepentingan awam.

“Ini bukan syarikat biasa kerana ia melibatkan koperasi dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Sekiranya tiada tindakan, sudah tentu ia akan memberi kesan kepada ahli koperasi yang lain,” jelasnya. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *