Pegawai kewangan lesap RM450,000 terpedaya ‘sifu saham’

Ken Wong duduk tiga dari kiri

Ken Wong (duduk tiga dari kiri) Joseph (duduk tuga dari kanan) pada sidang akhbar di Puchong, hari ini.

PUCHONG – Seorang pegawai kewangan tidak terlepas menjadi mangsa penipuan apabila mengalami kerugian cecah RM450,000 dalam masa kurang dua bulan selepas mengikuti kumpulan pelaburan yang ditemui di media sosial serta diketuai seorang ‘sifu saham’.

Ken Wong, 40 berkata, pulangan yang tinggi telah mengaburi matanya untuk menyertai pelaburan tersebut meskipun mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang pelaburan.

Jelasnya, pada awal pelaburan beliau hanya perlu mengikuti arahan ‘sifu saham’ dan berjaya membuat pengeluaran wang tunai sekitar RM5,000 sebelum gagal pada cubaan seterusnya.

“Saya mula sertai kumpulan itu pada Julai lalu dan menjual pelbagai aset hanya untuk melabur sepenuhnya dalam pelaburan tersebut. Dalam tempoh dua bulan saya melabur RM450,000.

“Di dalam platform itu memaparkan pelaburan saya menguntungkan tetapi saya tidak dapat mengeluarkan keuntungan itu dan ketika itu saya mula menyedari saya mungkin sudah ditipu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 23 transaksi pemindahan wang telah dibuat ke dalam empat bank syarikat sendirian berhad didakwa milik syarikat itu.

“Saya tidak mengharapkan wang dikembalikan tetapi saya ingin pelaku terima hukuman sepatutnya,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN) Joseph Prakash meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menangani isu penipuan yang berleluasa tersebut.

Menurutnya, sejumlah mangsa tampil membuat aduan kepada pihaknya selepas dimaklumkan siasatan tidak dapat diteruskan atas alasan kekurangan bukti.

Katanya, tindakan sekatan harus diambil segera ke atas iklan-iklan pelaburan di media sosial yang sering digunakan penjenayah untuk mencari mangsa.

“Kenapa tiada pihak mengambil tindakan dan membiarkan mereka membuat iklan. Jika ada sekatan saya percaya perkara ini tidak akan berlaku.

“Mangsa-mangsa penipuan ini ada yang sudah pencen, mereka sudah buat laporan pada PDRM dan agensi-agensi berkaitan erta dah tunjukkan bukti.

“Tetapi banyak kertas siasatan NFA (tiada tindakan lanjut) walaupun bukti kita dah tunjuk kalau mereka (polis) kata tiada bukti saya sedia ke hadapan,” katanya. – https://amiminerals.org/