Pearly-Thinaah tak fikir isu kontrak

Pearly

PEARLY (kiri) dan Thinaah mahu memberikan fokus kepada Terbuka Singapura dan Terbuka Indonesia terlebih dahulu. – ISKANDAR ISHAK

BEREGU wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah enggan mengulas lanjut mengenai status kontrak mereka bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sebaliknya mahu memberi tumpuan penuh kepada dua kejohanan penting dalam tempoh terdekat ini.

Gandingan No. 4 dunia itu tidak mahu isu luar gelanggang mengganggu fokus mereka selepas terkandas di separuh akhir Malaysia Masters 2025 apabila tewas kepada pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 16-21, 21-15, 14–21 dalam pertarungan sengit selama satu jam 15 minit.

“Kami tiada komen mengenai kontrak buat masa ini. Masih ada dua kejohanan penting dalam tempoh dua minggu ini dan kami mahu beri sepenuh perhatian kepada persiapan,” kata Pearly.

Pearly-Thinaah dijadual beraksi dalam Terbuka Singapura bermula 28 Mei ini, sebelum Terbuka Indonesia pada 3 hingga 8 Jun.

Di pusingan pertama Terbuka Singapura, mereka bakal menentang pasangan No. 32 dunia dari Hong Kong, Liu Lok Lok-Tsang Hiu Yan dan dijangka bertemu gandingan No. 11 dunia dari Jepun, Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto di pusingan seterusnya.

Thinaah pula menegaskan keutamaan mereka adalah memperkemas semula strategi permainan selepas kekalahan di laman sendiri.

“Kami enggan bersedia terlalu lama dan kami hanya mahu berehat secukupnya, berbincang dengan jurulatih dan bersedia semula. Dua kejohanan ini sangat penting, jadi itu keutamaan kami sekarang,” ujarnya.

Sebelum ini, Timbalan Presiden 1 BAM, Datuk V. Subramaniam memaklumkan rundingan lanjutan kontrak Pearly-Thinaah dijangka dimuktamadkan selepas tamat Terbuka Thailand.

Untuk rekod, kontrak pasangan itu bersama BAM berakhir pada Disember lalu dan difahamkan mereka mahukan beberapa penambahbaikan dalam syarat kontrak sekiranya mahu terus kekal di bawah badan induk tersebut.