DUNGUN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami kerugian lebih RM3.2 juta akibat kerosakan aset termasuk balai dan pondok polis yang terjejas akibat banjir gelombang pertama dan kedua melanda negara bermula pertengahan bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kemusnahan aset PDRM sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) tersebut melibatkan 42 lokasi di seluruh negara terutama di Terengganu dan Kelantan.
“Sebanyak RM2.5 juta akibat banjir di 32 lokasi, ribut (RM200,000) dan kerosakan siling dan bumbung (RM559,000).
“Mungkin ada penambahan (kerugian akibat kerosakan aset PDRM) kemudian,”katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir dalam kalangan warga PDRM di Balai Polis Kuala Jengai di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, Balai Polis Kuala Jengai merupakan antara balai dan pondok polis terjejas akibat banjir gelombang pertama dan kedua selain Balai Polis Kerteh dan Manir serta Pondok Polis Tenang.
Beliau berkata, kerosakan balai dan pondok polis serta pondok Polis Gerakan Am (PGA) banyak berlaku di Kelantan ekoran limpahan air luar jangka dari negara jiran.
“Di Kelantan ada balai (polis) yang total lost (musnah sepenuhnya). Terengganu pula tindakan awal telah diambil untuk memindahkan semua peralatan,”katanya.
Dalam perkembangan sama, Ayob Khan berkata, PDRM berhasrat untuk memindahkan balai dan pondok polis serta pondok Polis Gerakan Am (PGA) yang terisiko terjejas banjir di seluruh negara.
Beliau berkata, setakat ini, permohonan untuk memindahkan Balai Polis Kuala Jengai telah diluluskan untuk dimasukkan dalam Rolling 1, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13). – https://amiminerals.org/