PBT perlu kreatif bantu penjaja MyKiosk KPKT, elak jadi \’gajah putih\’

mykiosk kpkt pbt

Mohd. Jafni (dua kiri) melawat reruai Karnival TVET dan Kerjaya Kulai di Bandar Putra, Kulai.

KULAI – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu kreatif dalam membantu penjaja MyKiosk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengelakkan ia menjadi projek ‘gajah putih’.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, ini bagi memastikan perniagaan yang dijalankan penjaja berdaya saing dan mendapat sambutan.

Katanya, penerima bantuan inisiatif MyKiosk KPKT ini juga perlu disaring dengan memilih peniaga yang berpengalaman dan mempunyai pelanggan tetap untuk memastikan projek ini berjaya.

“Ini adalah kreativiti di peringkat PBT itu sendiri, sebab itu bila kita berdepan dengan isu rakyat ini, kita kena lihat dengan mata hati. Jika takat serah kios dan tinggal, memang tak jadi apa.

“Mesti ada insentif, seperti di Kulai, kita beri peniaga sewa percuma selama enam bulan untuk pastikan mereka mampu bertahan. Jika kita nak tolong, kena tolong betul-betul.

“Ada juga kiosk yang diserahkan kepada dua penama, pada sebelah pagi digunakan peniaga lain dan pada petang pula digunakan oleh peniaga yang berbeza, kita mahu kios itu sentiasa ‘hidup’,”katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival TVET dan Kerjaya Kulai di Bandar Putra Kulai, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa projek MyKiosk KPKT adalah projek ‘gajah putih’ yang merupakan satu pembaziran dan tidak praktikal. – https://amiminerals.org/