‘PBD tak boleh cuba-cuba, tingkatkan kualiti UPSR dan PT3 taksir murid’

sekolah murid pelajar gambar hiasan

GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) perlu lihat kemampuan guru, kemudahan bilik darjah dan silibus agar ia dapat memberi impak positif kepada sistem pendidikan negara.

Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Anuar Ahmad berkata, PBD bukannya tidak baik tetapi persoalannya adalah kita sudah bersedia atau belum untuk laksanakannya.

“Ini soal pendidikan anak-anak. Mana boleh cuba -cuba. Mesti bersedia, baru laksanakan. Jika tidak ia akan menghuru-harakan sistem pendidikan negara.

“Jika bilangan murid dalam kelas sampai 45 orang, apakah kita sudah sedia untuk laksanakan PBD? Tentulah tidak kondusif.

“Kalau kita berkeras dan nak laksanakan juga PBD, apakah kita sudah yakin ia akan memberi kecekapan pentaksiran guru dan bolehkah guru-guru menaksir secara tekal, valid dan mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi?,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah beliau, dalam isu PBD tidak cukup dengan hujah yang berkata ‘kalau negara lain boleh buat mengapa kita tidak boleh?’.

“Lain padang lain belalang. Lihatlah dahulu kemudahan dalam bilik darjah mereka.

“Bandingkan dengan kemudahan bilik darjah kita. Lihat juga silibus mereka. Lihat juga konsep ‘homeroom teacher’ yang mereka amalkan. Berpijaklah di bumi nyata,” tulisnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, apa yang perlu dilakukan sekarang ialah segera tingkatkan kualiti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).

“Mulakan pentaksiran UPSR berbentuk ujian bertulis (untuk ujian pengetahuan) dan juga ujian lisan (ujian kemahiran). Tingkatkan elemen kreativiti dalam soalan UPSR.

“Di samping itu, teruskan Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) untuk menaksir komponen kesihatan, kecergasan dan pembangunan nilai murid.

“Amalan UPSR dan PT3 yang baik akan menjadikan anak-anak kita jelas apa yang mereka perlu belajar,” katanya.

Ujarnya, Ibu bapa juga jelas untuk memantau apa yang anak-anak mereka telah belajar dan paling utama, guru-guru sendiri jelas apa yang perlu mereka ajar.- https://amiminerals.org/.