PATI melekat macam ‘spiderman’ di siling, tangki air elak dicekup

94a8e81c 322a 4859 867e 4834e4760ee4

Warga asing bertindak bersembunyi di ruang siling ketika diserbu imigresen. Foto JIM

SERDANG – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di Pangsapuri Timur, di sini, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi yang diketuai oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dilaksanakan dengan kekuatan seramai 58 orang pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya kira-kira pukul 12.10 tengah malam.

Katanya, dalam operasi ini, seramai 82 individu pelbagai warganegara telah diperiksa dan hasilnya seramai 37 orang PATI yang berusia lingkungan 19 hingga 50 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Mereka yang ditahan adalah terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Indonesia dan Pakistan.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil susulan aduan awam berhubung PATI yang disyaki tinggal di unit-unit kediaman pangsapuri tersebut tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika serbuan dijalankan, terdapat warga asing yang enggan memberikan kerjasama hingga memaksa pegawai operasi memecahkan pintu unit kediaman.

“Beberapa orang warga asing juga dikesan bersembunyi di ruang siling bumbung dan tangki air namun helah tersebut dapat dikesan dan kesemua PATI berjaya ditangkap,” jelasnya.

Menurut beliau, antara kesalahan yang dikenalpasti adalah membabitkan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut. – https://amiminerals.org/