PATI kerja kedai telefon terbongkar, 32 ditahan

PATI

Antara warga asing yang ditahan dalam serbuan di pusat beli belah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kegiatan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menjadi pekerja di deretan kedai telefon terbongkar dalam serbuan di sebuah pusat membeli-belah di Bukit Bintang, di sini, hari ini.

Serbuan bermula pukul 12.30 tengah hari itu dilakukan Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur dengan kerjasama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketika serbuan dilakukan, terdapat cubaan pekerja PATI menyamar sebagai pelanggan bagi meloloskan diri namun hasil risikan awal berjaya membuktikan lelaki itu merupakan pekerja.

Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dilakukan susulan risikan dua minggu selain aduan orang awam berkenaan kebanjiran PATI.

“Seramai 39 individu diperiksa membawa kepada tangkapan 32 warga asing yang berusia antara 23 hingga 46 tahun.

“Semua yang ditahan merupakan lelaki warga Bangladesh (11 orang), Pakistan (18 orang), dan India (tiga orang),” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.

Wan Mohammed Saupee berkata,mereka yang ditahan disyaki tidak mempunyai permit, permit tamat tempoh dan tidak mematuhi syarat-syarat permit untuk tinggal di negara ini.

Katanya, syarikat tempat pendatang tanpa izin berkenaan bekerja turut akan disiasat kerana memberi perlindungan kepada mereka yang ditahan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15 Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat JIM Kuala Lumpur bagi proses dokumentasi dan tindakan selanjutnya. -https://amiminerals.org/.