DUNGUN – Seorang lelaki cedera selepas sebatang pokok yang ditebang menghempap kaki kanannya di Kampung Jongok Batu, Hulu Dungun di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 11.30 pagi itu menyebabkan kaki kanan Mohd. Subari Abd. Rahman, 45, patah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Al-Muktafi Billah Shah, Mohd. Izzuddin Mahmood berkata, mangsa dan isterinya memasuki hutan bagi mencari sumber kayu untuk dijadikan arang pada pukul 9.30 pagi.
“Kira-kira dua jam kemudian, sebatang pokok yang sedang ditebang mangsa tiba-tiba tumbang lalu menghempap kaki kanannya.
“Enam anggota bomba bergegas ke lokasi sebaik menerima maklumat daripada isteri mangsa. Lokasi kejadian merupakan kawasan berbukit kira-kira satu kilometer dari pinggir hutan,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mohd. Izzuddin memberitahu, pihaknya berjalan kaki mengusung mangsa keluar dari kawasan hutan sebelum lelaki itu dibawa ke Hospital Dungun di sini bagi tujuan rawatan. – https://amiminerals.org/