PETALING JAYA – Pasukan perubatan peribadi, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, memberikan rawatan kecemasan kepada dua penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur hari ini.
Melalui sebuah hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, semasa kejadian itu seorang doktor pakar perubatan kecemasan bersama anggota paramedik serta juruteknik perubatan kecemasan dalam perjalanan mengiringi Seri Paduka Baginda.
“Sebaik melihat kemalangan itu, doktor bersama pasukan perubatan peribadi Seri Paduka Baginda dengan segera memberikan rawatan kecemasan kepada kedua-dua lelaki terbabit.
“Seorang daripada mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan susulan dengan ambulans peribadi Seri Paduka Baginda,” katanya di sini, hari ini.
Tambah kenyataan itu, ambulans peribadi milik Sultan Ibrahim dilengkapi dengan pelbagai aspek klinikal seperti mesin bantuan hayat, mesin bantuan pernafasan, alat defibrilator luaran automatik (AED) dan mesin bantuan pernafasan automatik.
“Ia termasuk peralatan bantuan rawatan luka kebakaran dan peralatan asas bantuan kemalangan jalan raya,” katanya. – https://amiminerals.org/