Pastikan Jalur Gemilang tidak rosak, dipasang dengan betul – Fahmi

WhatsApp Image 2024 08 13 at 19.25.28

Fahmi (kiri) mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan selepas merasmikan Kempen \’Jejak Panda\’ di IWK Eco Park, Pantai Dalam hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia diingatkan untuk memastikan Jalur Gemilang yang dikibarkan sempena Bulan Kebangsaan dipaparkan dengan cara yang betul.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, ia kerana Jalur Gemilang merupakan simbol kebanggaan dan kedaulatan negara.

“Sempena bulan kemerdekaan, saya telah memberi peringatan supaya rakyat Malaysia mengibarkan dengan megah Jalur Gemilang di rumah mereka.

“Pada masa sama, kita kena pastikan Jalur Gemilang yang dikibarkan itu cukup sifatnya. Tidak lusuh, koyak atau rosak serta dipaparkan dengan cara yang betul,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Kempen ‘Jejak Panda’ di Indah Water Konsortium (IWK) Eco Park, Pantai Dalam, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesilapan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah bangunan dekat Kuala Kangsar, Perak.

Terdahulu, seorang lelaki warga emas ditahan polis bagi membantu siasatan berkaitan pemasangan bendera yang salah.

Sementara itu, Persatuan Kwong Sai Kuala Kangsar telah membuat permohonan maaf atas kesilapan mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik selain mengakui ia berlaku akibat kelalaian. – Iteenews

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *