PETALING JAYA – Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan melahirkan rasa dukacita diatas kematian Lans Koperal Mohd. Afandi Jahwin yang terkorban dalam kejadian kepala air ketika melakukan rondaan semasa operasi di Banding, Perak.
Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenyataan media berkata, Muhammad Hafizuddeain dan seluruh warga TDM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Mohd. Afandi dan berharap mereka tabah menghadapi kehilangan tersebut.
“Semoga Allahyarham ditempatkan bersama mereka yang beriman. PTD juga berharap seluruh rakyat Malaysia terus mendoakan agar anggota yang masih hilang iaitu Lans Koperal Ahmad Zulhilmi Ahmad Tamizi akan segera ditemui dalam keadaan selamat,”kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat memaklumkan, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 8 pagi pada 30 November lalu semasa anggota terbabit terlibat dalam rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand dalam Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT Siri 6/2024.
Menurut kenyataan itu, Mohd Afandi merupakan anggota dari pasukan 21 Komando, Kem Sungai Udang, Melaka, manakala Ahmad Zulhilmi merupakan anggota dari pasukan 22 Komando, Kem Iskandar Mersing, Johor dan kedua-duanya belum berkahwin.
Jelas kenyataan itu, kejadian berlaku kira-kira pukul 8 pagi, Sabtu lalu apabila satu laporan diterima memaklumkan terdapat sembilan anggota dipercayai dibawa arus dalam kejadian kepala air ketika melaksanakan rondaan berhampiran Sungai Merah di Permatang sempadan Malaysia-Thailand dalam Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT Siri 6/2024 di Banding, Perak.
Katanya, dua anggota didapati hilang iaitu Mohd. Afandi dan Ahmad Zulhilmi, manakala tujuh lagi anggota ditemukan selamat sekitar pukul 12.30 tengah hari pada hari sama.
“Mohd. Afandi yang berasal dari Matu, Sarawak ditemukan di tepi sungai kira-kira tiga kilometer dari kedudukan Markas Trup dan disahkan sudah meninggal dunia, manakala Ahmad Zulhilmi yang berasal dari Kampung Padang Limau, Sungai Petani Kedah belum ditemui sehingga kini. Kedua-dua anggota ini masih belum berkahwin,”katanya.
Kenyataan memberitahu, Operasi KOTA, ECHO, FOXTROT adalah operasi pengawasan dan pemantauan keselamatan sempadan yang dijalankan di kawasan Banding melibatkan penguatkuasaan sempadan negara oleh pasukan keselamatan.
“Operasi ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan oleh pihak berkuasa untuk memastikan ketenteraman awam, mencegah ancaman keselamatan dan membendung aktiviti jenayah rentas sempadan di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand,”kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, jenazah Mohd. Afandi telah dibawa keluar dari lokasi operasi dengan pesawat udara pada 2 Disember lalu untuk menjalani proses bedah siasat di Hospital Taiping.
“Solat Jenazah dilaksanakan di Surau Sallehuddin Al-Ayubi, 23 RAMD pada 3 Disember dan seterusnya diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada pukul 3.45 petang dengan pesawat C130 TUDM.
“Jenazah telah sampai di Lapangan Terbang Sibu pada pukul 6.25 petang dan seterusnya diterbangkan dengan pesawat EC725 TUDM ke Kampung Jamerong dan jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Jamerong pada pukul 8.45 malam.
“Usaha mencari seorang lagi anggota masih diteruskan oleh 7 Tim SAR yang terdiri daripada 5 Pegawai dan 112 anggota LLP dari pasukan 2 RRD, 23 RAMD dan 22 Komando bermula dari tempat kejadian di Sungai Merah menyusuri sepanjang Sungai Perak,”kata kenyataan itu.- https://amiminerals.org/