JOHOR BAHRU – Dua buah pusat hiburan dan bistro di Taman Mount Austin di sini dikesan menyediakan pakej gadis pelayan pelanggan (GRO) warga Thailand untuk menemani lelaki gersang minum serendah RM50.
Malah premis terbabit turut didakwa menawarkan GRO yang dilanggan boleh dibawa pulang dengan harga yang sangat berpatutan.
Bagaimanapun aktiviti tidak bermoral itu terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam Ops Gegar kira-kira pukul 1.30 pagi, Sabtu lalu.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, dalam serbuan itu seramai 36 wanita Thailand berusia diberkas dipercayai dieksploitasi untuk tujuan aktiviti persundalan.
“Turut diberkas tiga lelaki warga Myanmar serta masing-masing seorang lelaki warga Laos dan Vietnam.
“Kesemua GRO dan lelaki warga asing yang ditahan masing-masing berusia 21 hingga 47 tahun,”katanya dalam satu kenyataan di sini.
Mohd Rusdi berkata, selain itu, tiga lelaki warga tempatan yang terdiri daripada pemilik premis dan penjaga berusia antara 19 hingga 52 tahun turut ditahan.
Beliau menambah, hasil siasatan awal turut mendapati warga asing ini memasuki Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) sebagai pelancong namun menyalah gunakan kemudahan yang diberi pihak Imigresen.
Ujarnya, GRO warga asing tersebut dipercayai menggunakan nama samaran untuk mengaburi mata penguatkuasa, namun taktik mereka berjaya dikesan dengan pelbagai bukti yang ditemui di premis tersebut.
Kesemua warga asing yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu salah guna Pas Lawatan Sosial (PLS).
Manakala, tiga warga tempatan yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana melindungi PATI.
“Sebanyak sembilan notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan oleh JIM bagi membantu siasatan.
“Kesemha tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,”katanya.-https://amiminerals.org/