Pakar keselamatan gesa operasi besar-besaran kenderaan berat, perdagangan

IMG 2512

Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) menggesa supaya operasi besar-besaran termasuk ‘Road Safety Audit’ diadakan segera secara berterusan ke atas kenderaan kenderaan berat dan perdagangan, terutamanya yang telah ‘berusia’.

Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya dan Permotoran PPKJR, Jamil Manan Supri berkata, pihak berkuasa perlu meningkatkan usaha membanteras pemilik dan pengusaha kenderaan berat yang gagal mematuhi peraturan serta membenarkan kenderaan mereka berada di atas jalan raya meskipun tidak diselenggara dengan baik.

“Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) perlu telus untuk memastikan kenderaan diperiksa dengan teliti di bawah pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beberapa badan penguatkuasa yang lain.

“PPKJR memandang serius insiden kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian sebuah keluarga dan pemandu trailer yang berlaku kelmarin di Ayer Keroh ,Melaka.

“Ini bukan insiden tayar terbang kali pertama dan sudah banyak berlaku,”katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, PPKJR menyenaraikan beberapa cadangan iaitu melakukan pemeriksaan suku tahunan untuk semua kenderaan berat dan bas, bukannya perlaksanaan tahunan.

“Mewajibkan pemeriksaan untuk sistem brek, tayar, lampu dan sistem pengagihan beban kerana ini penting untuk keselamatan jalan raya.

“Memberi kuasa kepada pegawai penguat kuasa untuk menjalankan pemeriksaan rawak di tepi jalan bagi memastikan pematuhan antara pemeriksaan berjadual,”katanya.

Beliau juga meminta agar menubuhkan Pusat Pemeriksaan Bertauliah terutamanya di kawasan luar bandar atau kawasan trafik tinggi untuk memudahkan pematuhan kepada pengendali.

“Pusat ini perlu menggunakan alat diagnostik lanjutan untuk mengesan isu yang tidak mudah dikenal pasti secara manual. Penalti lebih tegas perlu dikenakan kepada mereka yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

“Ini termasuklah memperkenalkan sistem denda progresif dengan penalti yang lebih tinggi untuk kesalahan berulang,” ujarnya. – https://amiminerals.org/