BALIK PULAU – Seorang gadis orang kurang upaya (OKU) pembelajaran berusia 27 tahun dipercayai menjadi mangsa rogol bapa saudaranya berusia 64 tahun dalam kejadian di sebuah rumah di sini, Ahad lalu.
Kejadian terbongkar apabila ibu mangsa berusia 47 tahun pulang ke rumah kira-kira pukul 6 petang dan menyedari anak sulungnya itu tiada di kediaman mereka sebelum mendapatkan bantuan rakan bagi mencari gadis tersebut.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, ibu mangsa kemudian pergi ke rumah suspek, yang dikenali sebagai Pak Long.
“Suspek membuka pintu hanya bertuala dan memberitahu bahawa mangsa datang ke rumahnya untuk mandi. Ibu mangsa berasa tidak sedap hati masuk ke dalam rumah dan mendapati anaknya dalam keadaan tidak berpakaian di dalam bilik mandi,” katanya di sini hari ini.
Menurut Sazalee, mangsa kemudiannya memaklumkan kepada rakan ibunya bahawa dia telah dirogol oleh suspek.
“Polis telah menahan suspek dan hasil siasatan mendapati suspek tinggal bersendirian, manakala isteri dan anak-anaknya menetap di Sungai Pinang, George Town. Mangsa dipercayai kerap ke rumah suspek seorang diri ketika ahli keluarganya keluar bekerja,” katanya.
Tambahnya, siasatan awal turut mendapati kejadian disyaki berlaku lebih daripada sekali, namun mangsa tidak dapat memberikan keterangan lengkap disebabkan keadaan mentalnya yang tidak stabil,”ujarnya.
Tambahnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (OSCC) untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan oleh pihak hospital.
“Suspek telah berjaya ditahan dan dalam siasatan awal mengaku melakukan hubungan seks dengan mangsa. Suspek ditahan reman selama enam hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya. – https://amiminerals.org/