Pak Lah ubah pekan koboi Kepala Batas jadi bandar

WhatsApp Image 2025 04 14 at 11.59.40 PM

Shariful (kanan) ditemui di Masjid Jamiul Badawi di Kampung Permatang Bertam, hari ini. Foto oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Jasa dan sumbangan terbesar Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak sesekali dilupakan adalah kejayaannya mengubah pekan koboi Kepala Batas menjadi sebuah bandar maju.

Pengerusi Kariah Masjid Al Jamiul Badawi, Datuk Shariful Azhar Othman berkata, kemajuan yang dikecapi masa kini bukan sahaja dinikmati penduduk setempat malah pembangunan terancang dilengkapi kemudahan dan infrastruktur dapat dimanfaatkan komuniti.

“Apabila Pak Lah menjadi Timbalan Perdana Menteri, penduduk merasai kemakmuran dan selepas beliau memegang jawatan Perdana Menteri, kita boleh tengok Kepala Batas berubah dari sebuah pekan koboi menjadi sebuah bandar.

“Kita telahpun menikmati jasa daripada Pak Lah yang bukan sahaja memegang jawatan sebagai Ahli Parlimen Kepala Batas sebanyak tujuh penggal malah menjadi Perdana Menteri 2003 hingga 2009,” katanya ketika ditemui pemberita usai solat Isyak di masjid terbabit di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, majlis tahlil dan bacaan Yasin akan dijalankan dalam masa terdekat.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Mohamad Saleh Rashid,72, berkata beliau kagum akan kepintaran Allahyarham Pak Lah dalam membangunkan kawasan Permatang Bertam.

Katanya, dalam kepesatan pembangunan di kawasan Bertam Perdana, Allahyarham tetap mengekalkan suasana dan imej kampung terbabit. -https://amiminerals.org/