Pahang beli air Terengganu, harga belum muktamad

WhatsApp Image 2022 10 14 at 7.17.07 PM

Gambar hiasan.

KUANTAN – Harga air yang dibeli kerajaan negeri daripada Terengganu untuk kegunaan kawasan perindustrian Gebeng dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) masih belum dimuktamadkan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemasangan paip dan infrastruktur terbabit telah siap sepenuhnya dan dijangka akan dirasmikan pada 12 Disember ini.

“Harga masih dalam pertimbangan kerajaan negeri (Pahang) dan Terengganu, sebelum 12 Disember ini kita akan muktamadkan (harga belian air).

“Ia (pembinaan paip) sudah siap dan kita hendak lancar pada 12 Disember ini bersama dengan Menteri Besar Terengganu sekali dan ia akan selesaikan masalah air di Gebeng,”katanya dalam sidang akhbar selepas penggulungan Mesyuarat ke-3 Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Menurut Wan Rosdy projek bekalan air dengan kos sebanyak RM115 juta itu mampu membekalkan kira-kira 90 juta liter air sehari sekaligus dapat menyelesaikan masalah bekalan air khususnya di Gebeng.

Katanya, projek itu penting bagi menyediakan keperluan air kepada industri terutama di kawasan perindustrian Gebeng dan kawasan MCKIP.

Sementara itu beliau berkata, peruntukan kepada semua wakil rakyat di Pahang termasuk wakil rakyat pembangkang akan ditambah pada tahun hadapan.

Katanya, jumlah penambahan masih belum ditetapkan dan ia akan dibincangkan dengan pegawai kewangan negeri bagi mendapatkan bajet terbabit.

Difahamkan sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang menerima peruntukan sebanyak RM35,000 setahun manakala ADUN kerajaan menerima peruntukan sebanyak RM42,000 setahun. – https://amiminerals.org/