PETALING JAYA – Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan selepas dipercayai membuat ugutan jenayah terhadap penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, penahanan itu dibuat susulan satu laporan polis mengenai satu hantaran di laman Facebook.
Jelas beliau, hantaran itu adalah tangkap layar perbualan dalam kumpulan WhatsApp mengenai ancaman dan hasutan kepada penguat kuasa DBKL.
“Pengadu menyatakan tangkap layar WhatsApp tersebut merupakan ancaman, hasutan dan berbau ugutan dengan niat terhadap penguat kuasa DBKL sebagai penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang.
“Susulan itu, Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras hari ini menahan seorang lelaki berusia 57 tahun pada 12.10 tengah malam,”katanya.
Menurut Rusdi, kes disiasat mengikut Seksyen 506, dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.-https://amiminerals.org/