Padah jual ikan larangan

WhatsApp Image 2024 12 10 at 3.27.32 PM e1733820518202

Ikan Flower Horn yang disita DOF Selangor.

SHAH ALAM – Tindakan seorang wanita menjual dan mempamerkan ikan larangan tanpa kebenaran dipercayai sejak empat bulan lalu membawa padah apabila dikompaun sebanyak RM500 oleh Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).

Kompaun berkenaan adalah kali pertama dikeluarkan DOF berkaitan kes ikan larangan.

Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya menyerbu kedai akuarium yang terletak di Taman OUG pada 13 Ogos lalu susulan aduan daripada orang awam.

Katanya, wanita berusia 29 tahun yang bertugas sebagai pengurus tidak memiliki kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia bagi pemilikan 20 ekor ikan Flower Horn (genus Cichlasoma).

“Pemeriksaan mendapati premis tersebut menjual dan mempamerkan ikan larangan tanpa kebenaran dan kesemua ikan tersebut telah disita.

“Tawaran kompaun tersebut dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya DOF, atas kesalahan di bawah Subperaturan 2(1) Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, Dsb., Bagi Ikan) (Pindaan) 2024,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Difahamkan, sebelum DOF lebih kepada pendidikan dan menawarkan kepada pemilik untuk buat serahan secara sukarela.

Noraisyah menegaskan, ketidakpatuhan terhadap peraturan ini tidak boleh dipandang ringan dengan undang-undang ini terpakai kepada semua pihak tanpa mengira status individu atau syarikat.

“Kehadiran ikan-ikan larangan yang telah disenaraikan dalam jadual boleh mengganggu keseimbangan ekosistem akuatik dan mendominasi perairan sungai di Selangor.

“Jabatan Perikanan akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan untuk melindungi biodiversiti perairan kita,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Caption

Ikan Flower Horn yang disita DOF Selangor.