Orang ramai diminta waspada banjir mirip 2014

saarani banjir perak

Saarani mengingatkan orang ramai agar berwaspada dengan banjir tahun ini.

IPOH – Kerajaan negeri meminta kepada seluruh rakyat di negeri ini agar sentiasa berwaspada dengan amaran banjir kerana fenomena itu tahun ini mirip seperti yang berlaku pada 2014.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kejadian banjir 10 tahun lalu berlaku serentak, manakala tahun ini berlaku secara berulang-ulang di tempat yang sama dan baharu.

“Penduduk yang tinggal berhampiran dengan sungai, bukan Sungai Perak sahaja, tetapi anak sungai atau apa-apa saliran termasuk sungai dalam bandar pun kena sentiasa berwaspada.

“Jadi semua Pegawai Daerah (DO) yang menjadi pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) serta semua jabatan yang terlibat termasuk ketua-ketua kampung kena ambil perhatian dan ingatkan kepada anak buah masing-masing,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri Perak Kali ke 48 Tahun 2024 di Hotel Casuarina Meru Raya di sini hari ini.

Katanya, jumlah taburan hujan yang banyak dan tidak menentu dalam masa yang panjang menyebabkan paras sungai meningkat sekali gus menjadi punca banjir.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, setakat pukul 12 tengah hari tadi, seramai 1,330 mangsa daripada 424 keluarga di lima daerah dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS).

Kawasan Sungai Siput dalam daerah Kuala Kangsar paling teruk terjejas dengan mencatatkan 911 mangsa (284 keluarga) berlindung di tiga PPS.

Ia diikuti daerah Hilir Perak dengan mencatatkan 170 mangsa, Perak Tengah dengan 133 mangsa, Kerian dengan 75 mangsa dan Kampar dengan 41 mangsa. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *