Orang Asli usaha tanaman sara diri sebelum tengkujuh

LEAD KLT Tanaman bekalan tengkujuh

MASYARAKAT Orang Asli mengusahakan tanaman sara diri di tepi rumah sebagai bekalan musim tengkujuh di Gua Musang. – AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar yang tinggal di Pos Bihai di sini mengusahakan tanaman sara diri sebagai bekalan makanan keluarga bagi menghadapi musim tengkujuh.

Penduduk mula mengusahakan tanaman sara diri seperti ubi kayu, pisang dan sayur-sayuran berhampiran rumah mereka sejak enam bulan lalu.

Seorang penduduk Orang Asli, Amat Pedik, 50, berkata, tanaman itu ditanam bermula pertengahan tahun bagi mendapatkan hasil ketika tiba musim tengkujuh.

Katanya, setiap tahun penduduk Orang Asli akan melakukan persediaan untuk menghadapi musim tengkujuh kerana kerap berdepan dengan masalah terputus hubungan seperti jalan rosak dan tanah runtuh.

“Keluarga saya sudah membuat persediaan awal untuk menghadapi musim tengkujuh kali ini. Bagi mendapatkan beras, saya terpaksa keluar dari kampung ini dengan melalui jalan tanah lebih tiga jam dan kedai paling dekat untuk membeli barangan makanan adalah di Rancangan Pengumpukan Semula (RPS) Kuala Betis.

“Tanaman seperti pisang dan ubi kayu ini kami tanam lebih awal sebagai persediaan sekiranya jalan rosak teruk atau ada kawasan tanah runtuh ­sehingga penduduk tidak dapat keluar mendapatkan bekalan makanan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud pula berkata, walaupun pelbagai persediaan sudah dibuat ada sesetengah penduduk yang terpaksa berputih mata apabila tanaman mereka dimusnahkan gajah liar.

Katanya, serangan haiwan liar seperti gajah liar memberi masalah kepada penduduk sehingga menyebabkan mereka kerugian dan ada yang tidak dapat menyediakan bekalan makanan pada musim tengkujuh kali ini. -https://amiminerals.org/