GUA MUSANG – Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis Blok A yang tinggal di pinggir Sungai Nenggiri sudah bersiap sedia menyimpan barangan dan bekalan makanan untuk dibawa berpindah ke rumah bangsal yang dibina di atas atas bukit jika dilanda banjir.
Penghulu RPS Kuala Betis Blok A, Rodzi Asod, 49, berkata, sebanyak 60 buah rumah bangsal di atas bukit sudah siap dibina sepenuhnya.
Katanya, kebanyakan penduduk telah membuat persiapan menyimpan pakaian dan dokumen penting untuk dibawa ke rumah bangsal.
“Seperti tahun sebelum ini, penduduk Orang Asli telah membina rumah bangsal sejak dua bulan lalu dan akan menyimpan barangan ke atas bukit sekiranya hujan berterusan.
“Sejak kebelakangan ini penduduk bimbang sekiranya hujan lebat berterusan kerana paras sungai dilihat meningkat dengan cepat,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Seorang lagi penduduk, Asop Bahir, 53, berkata, dia menyediakan dua buah rumah bangsal sebagai tempat perlindungan untuk ahli keluarganya.
Katanya, masyarakat Orang Asli sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dengan keadaan cuaca semasa dan akan segera berpindah ke atas bukit sekiranya paras Sungai Nenggiri meningkat.
“Kami sudah membeli barangan makanan kering sejak awal lagi dan mengeluarkan kos sendiri untuk membina rumah bangsal di atas bukit.
“Setiap tahun sekiranya cuaca hujan berterusan keluarga saya tidak sempat untuk pergi ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis kerana jalan tanah serta jambatan terputus hubungan akibat dilimpahi Sungai Nenggiri,” katanya.
Terdahulu, beberapa kampung di daerah Machang, Kelantan diramal akan mengalami banjir bermula Selasa hingga Jumaat ini.
Menerusi kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), kampung yang terlibat adalah di sekitar radius lima kilometer berhampiran Sungai Kelantan dan Sungai Nenggiri.
Antara kampung yang akan terjejas di Gua Musang termasuklah Kampung Pasir Tumboh Lama, Kampung Kala, Kampung Jeram Tekoh, Kampung Dalam Lah dan Kampung Kuala Betis.
Turut terlibat, Kampung Kuala Sungai, Kampung Bertam Lama, Kampung Bertam Baru dan Kampung Pasir Tumbuh Baru. -https://amiminerals.org/