KUALA LUMPUR – Seorang wanita terpaksa meringkuk dalam penjara selama sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan mengemukakan borang daftar kelahiran palsu bayi kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Tertuduh, Wong Yee Lin dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Azura Alwi.
Hakim Azura turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati mengemukakan Borang Daftar Kelahiran (JPN.LM01) yang mengandungi butir matan palsu berkenaan pengesahan kelahiran bayi oleh sebuah hospiital kepada JPN.
Kesalahan itu dilakukan bagi mendapatkan sijil kelahiran sedangkan tiada rekod kelahiran bayi tersebut di hospital berkenaan.
Tertuduh melakukan perbuatan itu sejak 2015 hingga 2023.
Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan perbuatan 14 individu termasuk tiga wanita memalsukan butiran pengesahan kelahiran ‘bayi segera’ mereka terbongkar selepas ditahan dalam Ops Birth baru-baru ini.
Kesemua mereka yang berusia 28 hingga 49 tahun dipercayai membayar ejen sebanyak RM5,000 hingga RM20,000 bagi menguruskan dan menyediakan dokumen pengesahan kelahiran bayi dari hospital di sekitar Selangor.
Dokumen itu termasuklah ‘buku pink’ atau rekod kesihatan ibu yang mempunyai pengesahan doktor. – https://amiminerals.org/