Nota Diplomatik Republik Rakyat China bocor, KLN buat laporan polis

WhatsApp Image 2024 07 31 at 3.39.26 PM

Wisma Putra.

PETALING JAYA – Kementerian Luar Negeri (KLN) sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran maklumat membabitkan Nota Diplomatik dari Republik Rakyat China (PRC) kepada Kedutaan Besar Malaysia di Beijing pada 18 Februari lalu.

Wisma Putra dalam kenyataan berkata, pihak kementerian memandang serius isu kebocoran dokumen tersebut yang merupakan saluran perhubungan rasmi antara dua buah negara kepada pihak umum.

“KLN juga akan membuat laporan polis supaya siasatan turut dapat dibuat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan segera,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, satu artikel berkait dengan dokumen tersebut telah diterbitkan oleh sebuah portal media Filipina pada 29 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Malaysia dan PRC mempunyai hubungan dua hala dan kerjasama yang sangat akrab dan aktif.

Katanya, kedua-dua negara merupakan Rakan Strategik Komprehensif dan sentiasa mengambil inisiatif-inisiatif baharu yang berpotensi memantapkan perkongsian ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Berkenaan isu Laut China Selatan, kedua negara telah menzahirkan komitmen bagi menyelesaikan sebarang isu secara aman menerusi konsultasi dan dialog dengan menggunakan platform sedia ada dan saluran diplomatik, tanpa pertelingkahan atau kekerasan,”jelasnya.

Pada masa sama, Wisma Putra berkata, Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan, hak-hak kedaulatan serta kepentingannya di kawasan maritim negara berdasarkan kepada Peta Malaysia 1979.

“Pendekatan ini adalah selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.

“Bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai lautan yang aman, stabil serta selamat bagi kelangsungan perdagangan, Malaysia akan terus mengutamakan pendekatan diplomatik dalam urusannya bersama negara lain, termasuk China.

“Ini selaras dengan peruntukan-peruntukan yang termaktub di dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak di Laut China Selatan (DOC),”jelasnya.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia juga kekal komited dalam rundingan antara negara ASEAN dan China bagi memuktamadkan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (COC) yang substantif dan efektif dan selaras dengan peruntukan UNCLOS 1982.

Mulai Ogos 2024, Malaysia dan Republik Rakyat China merupakan pengerusi bersama selama tiga tahun bagi mesyuarat ASEAN dan China berkaitan pelaksanaan DOC dan rundingan bagi memuktamadkan COC. – https://amiminerals.org/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *