PETALING JAYA – Bukan biasa-biasa, pelakon Nabila Huda mencuri perhatian ramai selepas berkongsi video memberi kucing kesayangannya, Yuki makan daging wagyu premium dari Jepun jenis A5.
Ujar Nabila atau nama sebenarnya Nabila Huda Suhaimi, 40, haiwan berbulu itu merupakan satu-satunya kucing peliharaan yang memakan daging mentah di rumahnya.
“Budak ni ja makan daging mentah dalam rumah ini.
“Hari ni istimewa sikit, ini adalah daging wagyu jenis A5 pertama yang Yuki makan,” katanya menerusi video dalam Tiktok.
Dedah pelakon filem Rahsia itu lagi, Yuki juga akan menyambutnya setiap kali bangun tidur dan pulang kerja, menjadikan haiwan itu bukan sekadar peliharaan, tetapi teman sejati dalam rumah.
“Setiap kali Abil pergi kerja ja, mesti dia (Yuki) akan teruja nak tunggu di pintu.
“Bukan itu sahaja, contoh kalau Abil baru bangun tidur pun dia tetap akan sambut mommy dia ini,” kongsinya.
Perkongsian tersebut meraih ribuan tontonan dan dihujani komen netizen yang berseloroh mahu bertukar tempat dengan Yuki demi menikmati kehidupan mewah.
“Aku manusia pun tak pernah rasa wagyu A5. Yuki betul-betul bertuah,” komen seorang pengguna media sosial.
“Kucing makan daging premium, kita ni lauk seminggu sama je,” tulis netizen lain.
“Kalau boleh reinkarnasi, aku nak jadi Yuki dalam rumah Nabila Huda,” seloroh seorang lagi peminat.
Ramai memuji cara anak kepada penyanyi Amy Search itu melayan haiwan peliharaannya yang dianggap sebahagian daripada keluarga sendiri. — https://amiminerals.org/