Negara rugi RM277 bilion akibat rasuah dari 2018 hingga 2023

WhatsApp Image 2025 05 19 at 1.56.40 PM

Azam ketika merasmikan Majlis Peluncuran KKFP di sini hari ini. Foto oleh AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Malaysia dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM277 bilion akibat jenayah rasuah dalam tempoh lima tahun antara 2018 hingga 2023.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah itu bersamaan dengan purata RM55 bilion setahun.

Jelasnya, merupakan satu angka yang amat membimbangkan kerana menunjukkan kesan rasuah yang semakin meluas terhadap ekonomi dan sistem negara.

Beliau turut memetik kajian EMIR Research 2023, yang melaporkan bahawa Malaysia mungkin telah mengalami kerugian sehingga RM4.5 trilion akibat jenayah rasuah dalam tempoh 26 tahun antara 1997 hingga 2022.

“Angka-angka ini bukan sekadar statistik, tetapi petunjuk jelas bagaimana rasuah yang turut membuka ruang kepada pelbagai kesalahan-kesalahan lain.

“(Ini) berkaitan rasuah seperti pemalsuan dokumen, manipulasi dalam penyediaan penyata kewangan dan penyelewengan wang syarikat telah merosakkan keutuhan dasar, proses, sistem dan penyampaian kerajaan serta sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata demikin ketika berucap ketika merasmikan Majlis Peluncuran Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) di sini, hari ini.

Menurut Azam, kesan daripada penularan rasuah yang begitu besar telah menyebabkan negara berdepan ketirisan berskala besar, selain kehilangan keyakinan pelabur dan rakyat serta kemunduran dari segi kemajuan ekonomi dan pembangunan. – https://amiminerals.org/