Nak jadi pemimpin boleh, tapi jangan kaut kekayaan – Anwar

hanah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kanan) menyampaikan mock cek disaksikan Anwar dan Onn Hafiz pada Majlis Persamian Program Madani Rakyat 2025 di Pusat Beli-Belah Toppen, Johor Bahru, hari ini. – Foto oleh BAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tindakan perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan dan rasuah kerana ia merupakan elemen yang merosakkan negara.

Menurut beliau, pemimpin tidak seharusnya menggunakan kedudukan untuk mengaut kekayaan demi kepentingan peribadi atau keluarga.

“Nak ambil tindakan tidak berani, kalau ambil tindakan berdendam. Orang itu kumpul puluh-puluh bilion ringgit hidup selesa. Nak jadi pemimpin boleh, tapi jangan kaut.

“Negara ini perlu diselamatkan. Mahu jadi pemimpin boleh, tapi jangan jadi pemimpin yang kaut kekayaan untuk diri dan keluarga. Negara ini perlu diselamatkan, ini tekad kita,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Program Madani Rakyat (PMR) dan Sambutan Hari Belia Negara di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh konsep pembangunan sebenar yang menurutnya bukan sekadar membina bangunan pencakar langit atau mengejar pertumbuhan ekonomi, tetapi pembangunan insan berilmu, beradab dan berakhlak.

“Seringkali apabila disebut pembangunan, kita membayangkan pertumbuhan ekonomi, pembangunan bandar, pencakar langit, lebuh raya, dan pelbagai infrastruktur baharu. Namun, untuk apa semua itu?

“Tujuan sebenar pembangunan untuk membangunkan manusia. Ya, manusia! Bukan sekadar tubuh fizikal, tetapi manusia yang berilmu, berakhlak, mempunyai nilai, dan berperasaan.

“Apa maknanya kita bina bangunan tinggi, jika dalamnya dihuni manusia yang ganas, rakus, angkuh dan menekan sesama sendiri? Apa makna negara maju jika rakyatnya hidup dalam kebencian,”katanya.

Beliau turut menyeru golongan muda untuk memainkan peranan aktif dalam memberi contoh kepada masyarakat mengenai makna sebenar kemajuan.

“Saya mahu anak-anak muda beri contoh yang baik, ajar golongan tua yang mungkin kurang faham erti kemajuan. Tunjukkan bahawa kejayaan bukan diukur dengan bangunan tinggi, tetapi dengan nilai kemanusiaan,” katanya.

Tambah beliau, matlamat utama pembangunan negara adalah untuk membentuk masyarakat penyayang, beradab dan saling menghormati, sejajar dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama. – https://amiminerals.org/