KEMAMAN – Jenazah pasangan suami isteri yang maut akibat kemalangan di Batu 10, Jalan Kuantan-Maran berhampiran Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan, Pahang awal pagi tadi selamat dikebumikan lewat petang tadi.
Upacara pengebumian Allahyarham Mohd. Fadli Mohd. Abidin, 42, dan isteri, Allahyarham Rohafiza Taha, 50, di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman di sini selesai sepenuhnya pada pukul 6.15 petang tadi.
Seramai 100 ahli keluarga dan kenalan termasuk 14 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Chukai menghadiri upacara pengebumian tersebut.
Bapa Rohafiza, Ngah@Taha Hussin, 77, berkata, dia mengetahui berita kemalangan maut menimpa anak perempuan dan menantunya pada pukul 5.10 pagi tadi.
”Cucu saya, Othman Wafri, 11, yang juga anak tunggal Rohafiza dan Mohd. Fadli pula cedera parah akibat kemalangan terbabit namun keadaannya semakin stabil di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan,”katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kuala Kemaman di sini hari ini.
Terdahulu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Mitsubishi Xpander dinaiki tiga beranak tersebut dikatakan hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh sebuah jentera pengorek yang berada di bahu jalan.
Ngah memberitahu, sewaktu kejadian, Rohafiza dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Geliga Besar di sini setelah Mohd. Fadli selesai menjalani rawatan alternatif mengubati penyakit jantung dideritainya.
Dia berkata, menantunya, Mohd. Fadli menghidap penyakit jantung sejak beberapa tahun lalu sehingga terpaksa bersara awal sebagai anggota bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Kijal di sini. – https://amiminerals.org/