PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu pemilik lori yang terbabit kemalangan sehingga meragut sembilan nyawa anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak hari ini dikenakan tindakan tegas.
Beliau berkata, selain pemandu lori, pemilik syarikat berkenaan perlu juga dipertanggungjawabkan atas kejadian yang berlaku pagi tadi.
“Nahas ini tidak harus berlaku sekiranya kenderaan berat itu melalui pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
“Laporan awal menunjukkan terdapat masalah teknikal pada kenderaan yang membawa muatan pasir itu menyebabkan ia hilang kawalan akibat stereng tidak berfungsi,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JK-MKKJR) Bilangan 1 Tahun 2025 di Putra Perdana, di sini hari ini.
Menurut beliau, selain pemeriksaan Puspakom, beliau turut mengarahkan pemeriksaan kesihatan dilakukan ke atas pemandu lori yang berisiko mengakibatkan kehilangan nyawa di jalan raya.
Ahmad Zahid berkata, ujian air kencing dan alkohol perlu ditekankan ke atas mana-mana pemandu kenderaan yang boleh mengakibatkan kesan buruk sekiranya kemalangan berlaku seperti di Teluk Intan hari ini. – https://amiminerals.org/