Nahas FRU: KP Perak tahan sebak sampaikan perkembangan terkini

WhatsApp Image 2025 05 13 at 3.07.40 PM

Noor Hisam ketika menyampaikan perkembangan terkini di Hospital Teluk Intan, Perak, sebentar tadi.

PETALING JAYA – Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Noordin dilihat menahan sebak ketika menyampaikan perkembangan terkini berkaitan kemalangan di Jalan Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, yang berlaku pagi tadi.

Dalam satu sidang media di Hospital Teluk Intan, suara Noor Hisam kedengaran sedih ketika memberitahu penghormatan terakhir terhadap 10 anggota yang terkorban Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) akan dilakukan di Markas Unit 5, Sungai Senam, Ipoh.

Beliau kemudian memaklumkan jenazah kesemua anggota yang terkorban akan dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing.

Ketika itu, Noor Hisam kelihatan terhenti seketika sambil menahan diri kerana sebak selain membetulkan suaranya yang kedengaran hiba menyampaikan perkembangan tersebut.

Selain itu, para petugas media yang berada di kawasan itu juga kelihatan sedih dan berdukacita ketika mendengar perkembangan terkini nahas trak FRU itu.

Terdahulu, seramai sembilan anggota FRU Unit 5 Ipoh dilaporkan maut dalam nahas membabitkan lori muatan pasir di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak. hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi tadi nahas membabitkan sebuah lori membawa muatan batu dan sebuah trak FRU yang membawa 15 anggota termasuk pemandu.

Antara mangsa yang maut ialah Sarjan S. Perumal, Koperal Nurit Pandak, Koperal Amiruddin Zabri, Koperal Mohd. Pozli Jaudin, Koperal Akmal Muhamad, Koperal Mohamad Hilmi Mohd. Azlan, Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif dan Konstabel Akmal Wafi Annuar.

Difahamkan, kenderaan membawa 15 anggota FRU termasuk penumpang dan pemandu itu dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas tugas kawalan Op Chariot di Teluk Intan, semalam.- https://amiminerals.org/