PUTRAJAYA- Kementerian Komunikasi sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dan media dalam menyampaikan maklumat sahih berhubung nahas melibatkan anggota Pasukan Simpanan Polis Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak hari ini.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya juga bersedia menyekat penyebaran berita palsu demi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan.
“Saya mewakili seluruh warga Kementerian Komunikasi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden tragis melibatkan FRU di Jalan Chikus, Sungai Lampan, Teluk Intan.
“Pemergian anggota FRU dalam nahas tersebut merupakan satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada keluarga dan rakan seperjuangan, tetapi kepada negara yang menghargai jasa dan pengorbanan anggota keselamatan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, anggota FRU adalah wira negara yang sentiasa bersedia berada di barisan hadapan bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
“Tragedi ini amat menyentuh hati dan memberi kesan mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia. Saya mendoakan agar roh mangsa yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.
Fahmi turut mendoakan agar kesemua anggota yang cedera dalam kemalangan itu diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan segala urusan rawatan mereka. – https://amiminerals.org/