MyKiosk: KPKT akan heret dalang berita palsu muka pengadilan

NGA KOR MING MY KIOSK

Kor Ming berucap pada Majlis Pra Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) 2025 di Putrajaya hari ini. – Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membuat laporan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) susulan penyebaran beberapa berita palsu membabitkan projek MyKiosk@KPKT.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, beliau telah keluarkan arahan kepada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk mencari individu yang menyebarkan berita palsu itu.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat aduan kepada MCMC bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Hari ini saya telah keluarkan arahan kepada JKT untuk mencari ‘tiktoker’ dan mereka yang sebar berita palsu itu. Bagi Seksyen 233 (Akta Komunikasi dan Multimedia 1998), mereka yang disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM100,000.

“Kami sedang mengumpulkan segala video palsu itu untuk tindakan selanjutnya. Jika kamu mahu sebar berita palsu, silakan sebab kita pun akan ambil tindakan tegas,”katanya pada sidang akhbar Majlis Pra Pelancaran Anugerah Kecemerlangan Menteri (AKM) dan Anugerah Kecemerlangan Media (AKeMedia) 2025, di sini hari ini. – https://amiminerals.org/