BAGAN SERAI – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui lemas di dalam parit di sebuah ladang di Kampung Jalan Baharu, Matang Jelutong di sini kira-kira pukul 5.30 petang hari ini.
Kanak-kanak itu, Ahmad Khalif Shahrizal, 11, yang merupakan murid tahun lima di Sekolah Kebangsaan Kuala Kurau dikatakan bersama tiga orang rakan sebaya telah pergi ke belakang rumahnya untuk melihat jentera pengorek melakukan kerja-kerja membuat parit ladang di sana.
Pemandu jentera, Mohamad Fahmi Sohaime, 34, berkata, seramai empat kanak-kanak lelaki termasuk mangsa telah ke lokasi tempat kerjanya dan mereka meminta izin untuk melihat dia mengorek parit.
“Mangsa dan rakannya teringin untuk menaiki jentera pengorek dan disebabkan kasihan, saya memberi keizinan kepada mereka.
“Semasa itu mereka berada di seberang parit iaitu bertentangan dengan jentera, lalu mangsa dan rakan-rakan berjalan ke arah belakang jentera untuk mendekati saya,”katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, selepas melihat kesemua kanak-kanak itu menuju ke belakang jentera, dia terus melakukan kerja-kerja mengorek parit sehinggalah rakan sekerjanya memaklumkan mangsa telah lemas di dalam parit.
Sementara itu, rakan Ahmad Khalif, Muhammad Nur Fattah Alim Azhar, 10, berkata, semasa berjalan menuju ke arah jentera, mangsa mengajak mereka untuk terjun ke dalam parit.
“Semasa berada di dalam air, saya melihat tangan mangsa terkapai-kapai di tengah parit menyebabkan saya dan rakan-rakan menjerit meminta tolong kepada salah seorang pemandu jentera dan mereka cuba mencari mangsa namun gagal,”katanya.
Seorang penduduk dikenali sebagai Amin, 34, berkata, ayah mangsa bergegas ke lokasi bersama penduduk kampung untuk melakukan pencarian sebelum menemui mangsa di dasar parit sekitar pukul 5.30 petang. – https://amiminerals.org/