BALING – Seorang murid darjah satu maut selepas motosikal dibonceng bersama abang dan rakan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah van di Jalan Baling-Weng-Tanjung Pari di Kampung Charok Putih, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 3.35 petang itu, mangsa, Muhammad Darimi Mohd. Naim, 7, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.
Abang mangsa dan rakannya masing-masing berusia 10 tahun mengalami kecederaan. Ketiga-tiga mangsa bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bayu, di sini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki tiga kanak-kanak itu datang dari arah Kampung Charok Putih menghala ke Kampung Surau.
“Sebuah van jenis Nissan pula datang dari arah Kampung Landai, Sik, menghala ke Kampung Bandar.
“Setibanya di tempat kejadian, van dinaiki tiga individu yang bergerak lurus melanggar motosikal mangsa yang keluar dari simpang,”katanya di sini hari ini.
Pemandu van berusia 26 tahun dan dua rakannya dalam perjalanan untuk berniaga di Pasar Malam Kampung Bandar.
Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan penunggang motosikal melambung dan terjatuh ke dalam longkang di sebelah kanan jalan.
“Dua pembonceng pula tersepit di bahagian tayar hadapan dan belakang van. Mangsa berusia tujuh tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,”ujarnya.
Tambahnya, dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut. Mayat seorang lagi mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat.
“Kemalangan dipercayai berpunca daripada penunggang motosikal yang cuai ketika keluar simpang sehingga menyebabkan berlaku kemalangan dengan van tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya. – https://amiminerals.org/.