Muhyiddin dibenar dapat pasport sementara ke UK

Muhyiddin

Muhyiddin.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mendapatkan pasport antarabangsa buat sementara bagi membolehkannya ke United Kingdom.

Beliau ke negara itu bagi mendapatkan nasihat perubatan berhubung penyakit kanser pankreasnya selain melawat cucu-cucunya.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan itu selepas peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin memaklumkan anak guamnya memohon untuk mendapatkan pasport bermula hari ini sehingga 14 Januari 2025.

“Mahkamah telah mendengar serta meneliti segala hujahan kedua-dua pihak. Mahkamah berpuas hati dan memutuskan bahawa permohonan pihak pemohon adalah dibenarkan dan pasport perlu dikembalikan kepada mahkamah pada 14 Januari 2025 seperti mana dalam permohonan.

“Mahkamah berpendapat pemohon berhak mendapatkan rawatan perubatan yang terbaik bagi dirinya dan tiada juga bukti pemohon akan melarikan diri,”kata Azura.

Terdahulu, Hisyam berkata anak guamnya memohon mendapatkan pasport antarabangsa untuk melakukan perjalanan ke United Kingdom bagi bertemu dengan Profesor Brian Davidson yang mempunyai latar belakang sebagai pakar bedah dalam bidang pembedahan hati, saluran hempedu dan pankreas, serta dalam pengurusan kanser.

“Anak guam saya telah buat temunjanji, saya percaya bahawa doktor tersebut mampu memberikan pandangan berhubung keadaannya.

“Anak guam saya dijangka bertemu dengan Profesor Brian pada 18 Disember ini di Platinum Medical Centre yang terletak di London. Pertemuan ini perlu bagi anak guamnya mendapatkan nasihat rawatan yang diperlukan dalam tempoh tersebut,”kata Hisyam.

Menurut peguam itu, sebelum ini Muhyiddin telah menjalani imbasan Positron Emission Tomography (PET Scan) untuk memantau keadaan kanser pankreasnya. Hasil imbasan bacaan penanda tumor CA 19-9 Muhyiddin telah menunjukkan sedikit peningkatan melebihi paras normal.

Mendengar perkara itu Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat membantah permohonan Muhyiddin untuk mendapatkan pandangan kedua berkaitan rawatan kanser tersebut.

“Malaysia juga mempunyai pakar, perunding dan juga fasiliti yang mencukupi untuk pemohon mendapatkan rawatan,”kata Mahadi.

Sementara itu, pada prosiding sama
mahkamah menentapkan 16 Januari 2025 untuk keputusan permohonan pendakwaan supaya empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dihadapi Muhyiddin dibicarakan bersama.

Pada 11 September, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhyiddin bagi menyemak keputusan mahkamah itu sebelum ini, yang mengembalikan empat pertuduhan salah guna kuasa membabitkan RM232.5 juta terhadapnya. – https://amiminerals.org/