BATU PAHAT – Suami kepada seorang jururawat sebuah hospital swasta di Batu Pahat yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu, sudah selamat pulang ke rumah.
Hasnah Hussin, 29, berkata, suaminya, Muhamad Faez Zainuddin, 33, pulang sendiri bersama kereta Kia Cerato dipandunya kira-kira pukul 2.30 petang semalam dalam keadaan kebingungan.
Katanya, sebaik sampai di rumah, suaminya itu dilihat termenung jauh di dalam kereta dan hanya keluar selepas dipujuk ahli keluarganya yang berkumpul kerana bimbang dengan kehilangannya itu.
“Alhamdulilah, dia sudah selamat pulang ke rumah, walaupun dalam keadaan kurang stabil, sentiasa termenung jauh dan tak ingat apa yang berlaku sepanjang tempoh kehilangannya itu.
“Selepas pulang ke rumah, dia direhatkan dan apabila keadaan dirinya sudah beransur pulih baharu diberikan makan dan mandi,” katanya pemberita, di sini hari ini.
Semalam, Kosmo! melaporkan seorang lelaki dilaporkan hilang selama lima hari selepas keluar dari rumahnya di Kampung Batu 17, Ayer Hitam Muar kira-kira pukul 9 malam.
Susulan itu, isterinya, Hasnah Hussin membuat laporan kehilangannya di Balai Polis Parit Sulong serta merayu bantuan orang ramai untuk membantu mengesan kedudukan suaminya itu. – Iteenews