SEBERANG PERAI – Pelajar jurusan muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Muhammad Adam Mifdal Mohd. Affendy,18, yang maut akibat kemalangan di Plaza Tol Sungai Dua, di sini pagi tadi dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Kedah.
Perkara itu dimaklumkan ibunya, Siti Zaharan Shaari,44, ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kepala Batas di sini hari ini.
Menurut Siti Zaharan, arwah yang merupakan anak sulung dari empat beradik itu pulang bagi membuat persembahan sempena Kedah Bike Week.
“Arwah begitu teruja untuk mengadakan persembahan buat kali pertama di program berkenaan yang kebetulan berlangsung di kampung halaman.
“Kali terakhir saya berhubung dengan Adam pada malam tadi (Khamis) dan dia memaklumkan akan bertolak balik dari Kuala Lumpur bersama rakan-rakannya pada pagi ini,”katanya.
Beritahu Siti Zaharan lagi, luluh hatinya apabila menerima perkhabaran mengenai nahas yang menimpa anaknya dan rakan-rakan apatah lagi arwah tidak sabar untuk membawa mereka bersiar-siar di Alor Setar.
“Lebih terkilan sebab kali terakhir kami berbual, dia meminta saya menunggunya pulang kerana dia mahu memberitahu sesuatu, namun sangat ralat kerana tidak dapat mengetahui apa perkara yang mahu diceritakannya,” katanya.
Tambahnya, anaknya bukan sahaja seorang yang periang, malah disenangi oleh kawan-kawan selain gemar bercerita tentang aktiviti harian dengannya.
“Walaupun sedih, namun kami sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.
Difahamkan, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman di Taman Bersatu, Kuala Kedah dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Taman Bersatu.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pelajar maut manakala dua lagi rakannya parah selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan merempuh pembahagi jalan di Plaza Tol Sungai Dua arah utara di sini pagi tadi. -https://amiminerals.org/