PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil pihak media Kwong Wah Yit Poh bagi memberi penjelasan berhubung satu laporan yang memuat naik gambar bendera Malaysia dalam keadaan tidak lengkap di akaun Facebook rasmi media berkenaan hari ini.
MCMC dalam kenyataan berkata, siasatan sedang dijalankan di bawah bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), khususnya Seksyen 233 memandangkan kesalahan adalah melibatkan kandungan yang dimuat naik secara dalam talian.
“MCMC memandang serius perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan, sekiranya perlu dan berkaitan,” katanya malam ini.
MCMC turut memberi amaran tegas kepada semua pihak, termasuk organisasi media dan orang awam agar tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh disifatkan sebagai mempersendakan atau menampilkan bendera Malaysia dalam bentuk yang tidak lengkap.
Jelas suruhanjaya itu, tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan berkenaan.
“MCMC komited untuk memastikan penggunaan media digital di Malaysia kekal tertib dan menghormati simbol-simbol kebangsaan.,” jelasnya.
Terdahulu, tular di media sosial berkait hantaran Facebook Kwong Wah Yit Poh yang memaparkan muka depan akhbar berkenaan dengan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit. – https://amiminerals.org/