Modul Pemulihan Kerohanian Pelajar mampu tangani isu buli

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia YADIM

Yadim

PETALING JAYA – Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) mencadangkan satu modul ‘Pemulihan Kerohanian Pelajar’ diwujudkan untuk pelaku buli, agar hukuman tidak sekadar memberi rasa takut, tetapi juga kesedaran dan taubat.

Yang Dipertua Yadim, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, kejadian buli yang berlaku di sekolah baru-baru ini menunjukkan masih ramai pelajar dan anak-anak perlu disantuni jiwa mereka dengan lebih banyak pengisian kerohanian.

Beliau berkata, semua pihak perlu menjadikan insiden itu sebagai satu cerminan bahawa pendekatan dakwah perlu lebih menyerap ke dalam sistem pendidikan negara.

“Pembuli bukan hanya perlu dihukum, tetapi juga dibimbing.

“Dalam kes ini, Yadim menggesa agar pelaku buli juga mendapat sesi pemulihan rohani,
seperti modul tarbiah khas untuk pembuli, pemukiman jiwa (solat tahajud, tazkirah refleksi serta ziarah ke rumah anak yatim dan mangsa buli),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, program-program itu bertujuan menyembuhkan jiwa dan bukan hanya menghukum mereka, ia memanusiakan pembuli tanpa membuatkan mereka melupakan kesalahan yang telah dilakukan mereka.

“Pada masa yang sama mengembalikan fokus kepada dakwah rohani, bukan sekadar pencegahan atau hukuman.

“Pada ketika ini, inisiatif melestari gerakan dakwah Yadim sudah bermula di peringkat sekolah menerusi Rakan Remaja Yadim sebelum bergerak lebih lanjut di institusi pengajian tinggi menerusi Rakan Belia Yadim dan Rakan Siswa Yadim,” katanya.

Katanya, ejen-ejen dakwah Yadim itu melaksanakan pelbagai inisiatif dakwah lapangan yang menyantuni pelbagai lapisan masyarakat dan komuniti menerusi pelbagai pendekatan.

“Yadim sedia bekerjasama dengan sebarang mana-mana institusi bertanggungjawab untuk menjayakan misi melestari gerakan dakwah bagi mengatasi masalah buli ini,” katanya. – https://amiminerals.org/