SANAA – Enam orang cedera selepas pemberontak Houthi melancarkan peluru berpandu menyasarkan lapangan terbang antarabangsa utama Israel, lapor akhbar New York Post semalam.
Serangan itu memaksa banyak syarikat penerbangan asing menangguhkan semua penerbangan untuk beberapa hari berikutnya selepas sistem pertahanan udara Amerika Syarikat dan Israel gagal menangkis peluru berpandu tersebut.
Video dramatik menunjukkan misil itu meletup di kawasan Lapangan Terbang Ben Gurion, Tel Aviv, yang mengendalikan lebih 21 juta penumpang pada 2023.
Sumber pertahanan memberitahu akhbar The Times of Israel bahawa tentera Israel melakukan beberapa percubaan untuk memintas misil Houthi.
Namun, peluru berpandu itu gagal dipintas Sistem Pertahanan Udara Arrow Jarak Jauh Tentera Udara Israel atau pun Sistem Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi Terminal Amerika (THAAD), kata sumber sama.
“Lapangan terbang itu tidak lagi selamat untuk perjalanan udara,” kata jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree pula dalam satu kenyataan.
Serangan udara itu menunjukkan keupayaan kumpulan disokong Iran tersebut untuk menyerang sasaran sensitif di Israel. – AGENSI